. Berjalan.Melihat.Mentafsir: March 2009

MUtiara Kata

Saya Melewati Jalan ini Hanya Sekali,maka apabila saya berpeluang menggembirakan hati orang sekeliling saya,biarlah saya melakukannya sekarang.Jangan biarkan saya menunda apa yang sepatutnya saya lakukan, juga jangan biarkan saya mengabaikannya, mungkin saya tidak melewati jalan itu lagi ::





"Sungguh mengagumkan urusan seorang mukmin. Sesungguhnya seluruh perkara adalah baik baginya. Dan tidak lah didapati seorang pun hal tersebut melainkan pada diri seorang mukmin. Jika dia merasakan kesenangan maka dia bersyukur. Dan itu lebih baik baginya. Jika kesusahan menerpanya maka dia bersabar. Dan itu lebih baik baginya." - Hadith riwayat Muslim

Tuesday, March 31, 2009

jawi blogger...



الحمدلله , اخيرڽ ساي دافت دان برفلواݞ اونتوق منوليس بلوغ دالم توليسن جاوي. سوسه جوڬا. هاري اين ساي ايعة ايڠين بركوڠسي تنتڠ ببراڨ ڨركارا. ڨرتاما مڠناءي ڨڨريكساءن يڠ باكل منجلما. ڨڠوروسن ماس امت فنتيڠ سكالي تراوتام سكالي انتارا توݢس سباݢاي ڨريسدين كوليج. دتمبه دڠن كڨوتوسن تيس ترموديناميق.


ساتو ڨركارا لاݢي يڠ ﭽوكوڨ ممبيمبڠكن اياله مڠناءي موايت. تيس سڨيكيڠ سام تاريخ دڠن ديناميق. ساي جوݢا امت برهارڨ اݢر كڨوتوسن ساي اونتوق سمستير اين لبيه باءيق .ٳنشا الله


Friday, March 20, 2009

Pak Lah & Anwar : Sujud Pada Kiblat yang Sama

13 Mac -TIGA jam sebelum Menteri Kewangan, Mohd Najib Razak membentangkan bajet mininya di Parlimen jam 4:00 kelmarin, berlangsung satu peristiwa diluar jangka yang penuh tandatanya, iaini Perdana Menteri, Abdullah Ahmad Badawi duduk serumah dan makan tengah hari bersama Anwar Ibrahim.

Peristiwa bersejarah ini berlaku di Madrasah Nurui Iman, Hulu Langat, Selangor. Abdullah dan Anwar sama-sama hadir pada majlis sambutan Maulid Rasul dan Sambutan Tamat Latihan Kerohanian 40 tahun Syeikh Mahmud Al-Majzub, dan menjadi tetamu kehormat mundir madrasah berkenaan.

Kehadiran Anwar hari ini memang dinanti-nantikan oleh kira-kira 1,000 hadirin dan para jemputan termasuk para ulama dari Asia Tenggara, sebaliknya kedatangan Abdullah secara tiba-tiba itu benar-benar mengejutkan.

Abdullah dijangka hadir ke madrasah berkenaan esok untuk merasmi persidangan dan pertemuan para ulama. Kehadiran Abdullah lewat tengah hari ini menjadi tanda tanya sebab pada waktu sama jemputan khasnya ialah Anwar Ibrahim.

Abdullah tiba lebih awal dari Anwar, iaitu jam 12:18 tengah hari manakala Anwar bersama isterinya, Wan Azizah Ismail tiba kira-kira 20 minit kemudian.


Kedua mereka dibawa naik ke rumah Syeikh Mahmud untuk makan tengah hari sama-sama.
Abdullah dan Anwar berada di dalam rumah berkenaan hampir 1 jam setengah. Mereka keluar dari rumah berkenaan untuk mendirikan solat Zohor bersama jam 1:40 petang.


Difahamkan semasa di dalam rumah Syeikh Mahmud, pertemuan enam biji mata berlangsung antara Abdullah, Anwar dan Syeikh Mahmud. Satu perundingan juga dikatakan berlaku dengan Syeikh Mahmud menjadi perantaranya!


Dr Wan Azizah, isteri Anwar turut sama naik ke rumah Syeikh
Mahmud. Sayang sedikit Jeanne isteri Pak Lah tidak
hadir kalau tidak suasana lagi meriah.




Selepas solat Zohor, Abdullah diminta memberi ucapan ringkas begitu juga Anwar bagaimana pun Anwar tidak berucap. Dalam ucapannya Abdullah menjelaskan sesutau yang baik itu kalau didoakan ia akan menjadi kenyataan. Selepas selesai solat Zohor dan ucapan ringkas kelihatan Abdullah dan Anwar bersalaman dan masing-masing melemparkan senyum.

Pertemuan dan gelagat kedua pemimpin itu benar-benar mengejutkan para hadirin dan jemaah. Masing-masing tertanya-tanya dengan peristiwa berkenana kerana ianya dikatakan bukan dirancang oleh sesiapa tetapi mempamerkan keadaan yang sungguh menyenangkan orang ramai.
Orang ramai begitu bangga dan puas dengan pertemuan kedua mereka yang dlihat sebagai bermusuhan selama ini.

“Apa yang berlaku hari ini adalah sejarah, dan kita harap ianya jadi!” begitulah komen salah seorang ahlijawatankuasa madrasah berkenaan enggan menjawab apa kedatangan kedua mereka sudah dirancang dan apakah yang dimaksudkan 'jadi' itu?

Abdullah meninggalkan madrasah berkenaan jam 2:15 minit petang manakala Anwar jam 2:50 petang kedua-duanya dijangka menuju ke Parlimen untuk mendengar pembentangan bajet mini oleh Najib.



Pintu rumah Syeikh Mahmud ditutup rapat, tetapi tidak berkunci.
Di dalamnya ada Pak Lah dan Anwar sedang makan tengah hari.

Pak Lah dihantar Syeikh Mahmud turun untuk pulang
selepas berada dalam rumah selama lebih satu jam
untuk makan tengah hari yang kontroversi!


Pak Lah memberi post istimewa, kelihatan ceria dan
seronok dengan keadaan sekeliling sebaik turun dari rumah
Syeikh Mahmud. Mungkin Pak Lah benar-benar kenyang!



Anwar menjenguk dimuka pintu rumah Syeikh Mahmud
sebaik saja Pak Lah turun untuk pulang.


Selepas Pak Lah meninggalkan madrasah Nurul Iman
giliran Anwar untuk berlalu kira-kira dua minit kemudian.
Maka selesailah acara makan tengah hari.
http://isuhangat.blogspot.com/

Friday, March 13, 2009

SPM: Pelajar Maahad Perempuan dapat 20A

Image



KOTA BHARU, 12 Mac (Hrkh) - Pelajar Maahad Muhammadi Perempuan, Nik Nor Madihah Nik Mohamad Kamal, 18 mendapat 20A (19A1, 1A2) dipercayai pelajar terbaik SPM 2008 peringkat kebangsaan.

Anak nelayan dari Kampunug Sabak, Pengkalan Chepa menerima slip keputusan tersebut daripada anggota Exco kerajaan negeri, Ustaz Mohd Amar Abdullah di sekolah tersebut hari ini.

Dengan keputusan itu Nik Nur Madihah juga meraih pelajar paling cemerlang di Kelantan dalam peperiksaan terbabit.

Tiga tahun lalu, pelajar sekolah yang sama Siti Fatimah Mukhtar muncul sebagai pelajar cemerlang negara apabila mendapat 18A (17A1 dan 1A2).

Seorang lagi pelajar, Nor Farah Aisyah Nazim, 18 memperolehi keputusan 17A.

Manakala Suhazlinda Ghazali diumumkan sebagai pelajar cemerlang dalam peperiksaan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) apabila memperolehi pencapaian 10 mumtaz dalam peperiksaan itu tahun lepas.Image

Hadir sama pada majlis penuh bersejarah tersebut, ibu Nik Nur Madihah, Mariani Omar, 42 dan ayahnya Nik Mohammad Kamal.

Turut hadir Ketua Penolong Pengarah Yayasan Islam Kelantan (Yik), Ustaz Zakaria Mohamad dan penolong-penolong pengarah Yik, tenaga pengajar sekolah terbabit, pelajar serta ibu bapa serta pelajar cemerlang SPM 2006, Siti Fatimah.

Mohd Amar ketika mengumumkan keputusan berkenaan berkata, sebanyak 17 sekolah Yik memperolehi keputusan peperiksaan 100 peratus dalam SPM termasuk Maahad Tahfiz Sains Tanah Merah yang pertama kali menduduki SPM.

Katanya, dua pelajar Maahad Tahfiz Sains mendapat 11A.

Image "Pencapaian keseluruhan membanggakan memandangkan tahun 2007 hanya 15 sekolah Yik memperolehi kelulusan 100 peratus," katanya.

Beliau juga berkata, seramai tiga pelajar memperolehi keputusan 13A, 11 orang (12A) dan lima orang (11A).

Kata beliau secara keseluruhannya pencapaian peperiksaan SPM 2008 meningkat sebanyak 2.45 peratus apabila melonjak kepada 98.01 peratus.

Mohd Amar juga meluahkan rasa kecewa apabila keputusan peperiksaan tersebut lewat diumumkan kerana kurang mendapat kerjasama pegawai Jabatan Pelajaran Negeri Kelantan (JPN).

Difahamkan pegawai JPN melengah-lengah penyerahan slip keputusan sekolah agama kepada pegawai Yik yang datang mengambil keputusan tersebut pagi tadi. Image

"Tak perlulah kita nak sorok atau rahsiakan kejayaan pelajar Maahad Muhammadi Perempuan. Apa salahnya kalau dimaklumkan awal kepada kami," ujarnya.

Mohd Amar juga berkata, antara rahsia kejayaan pelajar agama di bawah Yik kerana tidak pernah membelakangkan syariat dalam semua hal termasuk pendidikan.

"Namun sikap pihak tertentu yang memperlekehkan sekolah agama dan hari ini mereka melihat sendiri kejayaannya," kata beliau.

Thursday, March 12, 2009

Haruskah Amal Quran Utk Kuat Luar Biasa? -Ust Zaharuddin


1. Saya mendapat tahu ada orang yang memperoleh kekuatan luar biasa seperti boleh berjalan di atas bara, boleh menarik bas, memecahkan bata serta kebolehan lain seperti membaca fikiran orang, mencari benda yang hilang melalui kekuatan minda dan mengesan sesuatu bala yang belum tiba. Mereka beroleh kekuatan itu dengan mengamalkan bacaan-bacaan al-Quran yang tertentu. Saya ingin tahu, apakah hukumnya mereka yang beramal dengan bacaan-bacaan al-Quran itu dengan tujuan ingin mendapat keistimewaan seumpama itu?

- Yang Musykil, Kuala Lumpur.

Jawapan : Kekuatan luar biasa ada kalanya boleh di perolehi dengan latihan dan usaha fizikal. Seperti menarik bas , berjalan atas bara dan memecahkan batu bata. Ia bergantung kepada latihan dan mungkin alatan-alatan luaran seperti krim pengurang kesan terbakar dan sebagainya.





Adapun isu yang berkaitan dengan perkara ghaib seperti membaca fikiran orang, ramalan bala yang akan datang dan yang seumpama dengannya adalah satu keyakinan yang mesti di sumberkan kepada 3 sumber sahaja. Iaitu :-

a) Al-Quran b) Hadith Sohih dan Hasan c) Fitrah kejadian alam (sunatullah)





Tanpa ketiga-tiga ini, kepercayaan tadi dengan mudah boleh membawa kepada gejala tilikan dan ramalan ghaib yang tidak diizinkan oleh Allah SWT dan RasulNya sebagainya firmanNya di dalam surah al-Najm ayat 65 : “ Katakan (wahai Muhammad kepada umatmu) tiada sesiapa di atas muka bumi atau di langit mengetahui perkara ghaib kecuali Allah SWT” . Malah Nabi juga bersabda : “Sesiapa yang menemui tukang tilik atau tenung, lalu mempercayai ramalannya (ghaibnya) maka ia telah kufur dengan apa yang diturunkan ke atas Nabi SAW” . ( Riwayat Al-Bazzar dengan sanad yang kuat ; berkata al-Haithami perawinya shohih kecuali ‘Uqbah bin Sinan 5/117 ; Sohih menurut Albani ; Muntaqa , 2/791 )



Justeru, dinasihatkan dengan tegas agar jangan dengan mudah mempercayai ramalan-ramalan ghaib dan akan datang oleh seseorang. Adapun isu menggunakan ayat-ayat al-Quran untuk mendapat kekuatan dan menembusi alam ghaib seperti membaca hati orang, pemikiran orang dan ramalan perkara akan datang.

Ia mungkin boleh diperolehi oleh orang-orang soleh dan bertaqwa, dan ia dinamakan “kasyyaf”, walaupun demikian, kasyyaf bukanlah satu kurnian yang boleh di kawal oleh seseorang itu pada masa-masa yang diinginnya, ia kerap kali berlaku secara spontan tanpa kawalan. Ia dikurniakan oleh Allah kepada mana-mana hambaNya yang soleh. Sebuah hadith menyebut : “ Berhati-hatilah dengan firasat orang mukmin (soleh) kerana mereka melihat dari cahaya Allah” ( Riwayat Tirmidzi dan At-Tabrani dan tirmizi berkata : Gharib ; Dhoif menurut Albani; Kasyful Khifa, Al-‘Ajlouni , 1/35 ; ) ; Khailfah Uhtamn ‘Affan r.a juga pernah diriwayatkan mendapatkan kasyyaf apabila menegur seorang lelaki dengan katanya mata kamu berzina. Demikian juga Umar Al-Khattab r.a ketika melihat keadaan tenteranya yang jauh dalam keadaan bahaya.


Seseorang yang mengamalkan ayat-ayat tertentu dengan tujuan khas untuk mendapatkan keistimewaan, adalah harus selagi tidak bercanggah dengan tujuan yang dibenarkan syara’, malah ada juga yang digalakkan jika terdapat hadith yang menganjurkannya seperti membaca surah al-baqarah bagi menjauhkan diri dari Syaitan (dari hadis riwayat Muslim), membaca surah Al-Kahfi pada malam dan hari jumaat bagi mendapatkan cahaya hati dan menjauhkan diri dari Dajjal (dari hadith sohih riwayat Muslim, An-Nasaie, Al-Bayhaqi dan al-Hakim –rujuk al-Muntaqa, no 388, 1/250). Banyak lagi ayat-ayat yang dikhabarkan oleh Nabi tentang khasiatnya. Menggunakana ayat-ayat tertentu untuk terbang dan berjalan atas air tanpa tenggelam, tidaklah disebut oleh Nabi ayatnya. Wallahu a’lam. Seseorang yang mengamalkan ayat-ayat tertentu untuk tujuan pelik dan jahat yang bercanggah dengan Al-Quran adalah sesat dan menyesatkan.

Tetapi perlu diingat, tujuan utama al-Quran diturunkan bukanlah untuk mencapai keistimewaan pelik di atas dunia atau untuk tujuan dunia, tetapi ia adalah untuk amalan dan panduan untuk hidup di dunia bagi mencapai keredhaan Allah di akhirat. Fakta ini telah dinyatakan dengan jelas dalam pelbagai Quran.

Tuesday, March 10, 2009

Perutusan Maulidur Rasul: Laksana ajaran Nabi dalam pemerintahan


MENGINGATI Rasulullah s.a.w. adalah dituntut oleh syarak. Cara tuntutan itu adalah umum, apa sahaja yang boleh dilakukan dengan tujuan untuk mengingati Rasulullah, bukan semata-mata kerana jasmaninya tetapi kerana risalah atau mesej yang dibawa untuk memberi kebahagiaan kepada manusia di dunia hingga ke akhirat.

Pada zaman mutakhir ini umat Islam umumnya, tidak lagi menghayati petunjuk-petunjuk Rasulullah s.a.w., malah mereka juga terasing daripada menghayati perjuangan baginda, menyebabkan Islam terpinggir dan perjuangan Nabi Muhammad s.a.w.tidak lagi menjadi idola.

Oleh itu, amat perlu diadakan sambutan yang bersesuaian dengan keadaan zaman ataupun perayaan-perayaan yang dilakukan selama ini seperti perarakan atau ceramah-ceramah agama sudah menjadi sesuatu yang ritual. Kadang-kadang ia tidak memberi makna yang sepatutnya bagi ditimba oleh orang-orang Islam.

Oleh demikian, saya mencadangkan supaya kalau benar-benar mengaku semuanya itu kerana hendak mengikuti jejak Rasulullah, maka ada baiknya diubah, ditambah sambutan itu dengancara pemerintah itu sendiri mengisytiharkan setiap tahun yang diadakan sambutan keputeraan Baginda, sekurang-kurangnya satu dari ajaran baginda dilaksanakan dalam pemerintahan.

Sebagai contoh, kalau Rasulullah s.a.w. amat memerangi arak, maka satu tahun diambil tahun 'pengharaman arak' untuk selamanya, manakala tahun hadapan pula satu lagi diambil untuk dilaksanakan, contohnya, seperti menutup aurat. Maka dilaksanakan perintah itu dengan sebaiknya oleh pemerintah. Bagi tahun ketiga pula, sebagai contoh, mengharamkan judi.

Ertinya, jika setiap tahun diadakan sambutan, diambil sekurang-kurangnya satu ajaran itu, maka ternampaklah kita ini serius dan wujud perubahan yang baik sempena Maulidur Rasul itu.

Manakala, satu hal lain pula, pihak yang berkuasa atau badan amal yang berwibawa, perlu mengadakan penyelidikan yang rapi tentang beberapa episod daripada sejarah hidup Rasulullahyang boleh dijadikan modul hidup atau praktikal modul untuk dilaksanakan, sesuai dengan firman Allah yang bermaksud: "Sesungguhnya bagi kamu ada sejarah Rasulullah itu contoh teladan yang amat baik untuk dilaksanakan."

Namun, selama ini hampir tidak pernah dilakukan penyelidikan sedemikian di Malaysia dalam hal ini.

Atas sebab-sebab itu, seperti dinyatakan tadi perlunya beberapa pendekatan dan ajaran Rasulullah s.a.w. itu diambil satu daripadanya setiap tahun bagi memberikan kemanfaatan kepada seluruh ummah.


* Dato' Dr Haron Din

Saturday, March 7, 2009

Salah Faham Itu Menyukarkan....

Bismillahirrahmanirrahim...

Alhamdulillah, sudah masuk bulan Mac, dan selang beberapa hari kita akan menyambut Maulidur Rasul.Pelbagai pesanan sudah saya lontarkan kepada mereka-mereka dalam membentuk organisasi program yang mantap. Namun.....desakan itu memerlukan satu perubahan watak ( change of style ).

Ada yang mengatakan untuk mencapai kejayaan sesuatu program,ia adalah usaha pengarah.Namun, itu adalah secara kasar sahaja. Secara keseluruhannya, ianya melibatkan semua ahli dalam program itu. Namun, bagi saya, apabila saya mengatakan seseuatu gerak kerja program itu dan saya mengatakannya kepada pengarah program tersebut, bukanlah sama sekali ianya bermaksud saya tidak menghargai usaha-usaha AJK program yang lain.

Konsep yang mudah. Kejayaan sesebuah negara itu terletak pada kebijaksanaan Perdana Menterinya. Memang benar, bukanlah PM yang buat semua, tetapi secara kasarnya ucapan penghargaan itu disalurkan kepada PM. Bayangkan, sebuah syarikat asing terpaksa menangguhkan dulu ucapan penghargaannya oleh sebab tidak mendapat maklumat tentang Menteri yang sebenar yang terlibat. Bukankah ianya melambatkan ??

Janganlah kita bertindak terlalu manja. Semuanya hendak dipuji, semuanya nak terguris hati...sukarlah untuk melaksanakan sesuatu.Sekiranya berlaku krisis, maka usahakanlah perbincangan antara AJK dengan Pengarah Program. Elakkan permasalahan dalaman ini dihebohkan kepada sesiapapun yang luar dari AJK..tidak kira ianya mantan AJK dahulu ataupun tidak.

Friday, March 6, 2009

Harap maaf...

Saya masih lagi dalam proses untuk mengembalikan mood untuk menulis blog...harap maklum...

Jodoh Tidak DatanG BerGoleK..by Saifulislam.com

“Itulah alasan lapuk yang aku sudah malas mahu mendengarnya. Kononnya semasa di kampus inilah kena bercinta sebab zaman kerja nanti, silap-silap melepas,” luah hati Zaharah sambil membetulkan tudungnya.

“Mereka sanggup melayan dosa bercouple begitu… mereka sudah lupakah janji Allah bahawa jodoh dan pertemuan sudah diatur-Nya? Mengapa mesti melayan dosa?” tambah Zeti untuk menyedapkan lagi perbualannya.

Setelah membaca dan menghadam Teori Evolusi Cinta yang saya nukilkan di saifulislam.com tentang keburukan hidup bergelumang cinta bertatah dosa, ramai yang berasa puas. Ada yang berpuas hati kerana bertambah yakin dengan pengorbanan diri menolak cinta atau memutuskan cinta yang pernah membelit jiwa. Ada juga yang berpuas hati kerana beroleh hujah-hujah mantap untuk membidas kawan-kawannya yang selama ini petah menangkis tazkirah.





Penulisan saya berkaitan dengan cinta, tidak pernah saya pisahkan daripada niat yang satu, iaitu untuk menunjukkan jalan yang betul dalam mengatur fitrah agar tidak menjadi fitnah. Teguran kepada anak-anak muda berkaitan dengan kebingungan mereka dalam menggarap persoalan cinta dan cabang-cabangnya, disampaikan dalam nada nasihat yang penuh empati, bukan titah hukuman mati. Hanya sesekali, saya cantas bunga-bunga bahasa, agar mesej yang ingin disampaikan terang benderang, apatah lagi setelah rimas melihat bunga diramas kera.

Tetapi reaksi pembaca yang menyokong tulisan saya, menimbulkan pula masalah yang baru. Mereka membuat kesimpulan-kesimpulan yang jauh dari apa yang saya maksudkan. Biar pun umum memahami bahawa artikel dan komen adalah dua komponen yang berasingan, namun secara separa sedar, ia menyerap dan saling melengkapkan pakej kefahaman, yang jauh dari mesej asal saya.

SALAH FAHAM

“Kenapa mesti bercinta semasa belajar, bukankah jodoh dan pertemuan telah Allah tentukan!” kata seorang pemberi komen. Bukan komen di blog saya, tetapi di halaman lain yang memetik tulisan saya.

Sesungguhnya di sinilah tertonjolnya satu krisis baru.

Menolak cinta yang bergelumang dosa adalah sama sekali tidak bermaksud yang persoalan jodoh boleh dipisahkan dari usaha. Ia bertentangan dengan sunnatullah yang menuntut kita mengambil sebab musabab dalam kehidupan. Bagaimana kalau ayat tersebut digantikan dengan persoalan makan?

“Kenapa mesti mencuri untuk mencari rezeki, bukankah makan dan minum kita telah Allah tentukan?”, ayat ganti dalam skop yang sama.

Mampukah seorang manusia yang waras percaya bahawa perbuatan mencuri untuk mencari makan, adalah kesalahan yang mesti dihentikan dan gantiannya ialah menunggu sahaja beras ajaib menjadi nasi, ikan di laut berenang ke pinggan, dan tangan menyuap tanpa usaha!

Tentu sahaja tidak.

Sudah tentu perbuatan berdua-duaan tanpa ikatan perkahwinan, yang sudah menjadi kelaziman yang menggila di kalangan masyarakat kampus adalah perbuatan yang salah dan harus diperbetulkan. Namun menolak coupling tidak bermaksud yang seorang siswa dan siswi boleh duduk bertimpuh bertahajjud di atas sejadah merayu kepada Allah agar beroleh jodoh tanpa sebarang usaha ke arah mendapatkannya.

Usaha tetap usaha, dan zaman belajar tetap merupakan salah satu peringkat usia yang bagus untuk usaha ini dilaksanakan. Soal berkahwin semasa belajar ia subjek kepada diskusi khusus mengenainya. Namun mencari calon yang sesuai ketika di zaman pengajian, adalah langkah yang baik kerana kita duduk dalam lingkungan yang lebih banyak potensi kafa’ah dan sekufu dalam pencarian itu.

Akan tetapi jika berdua-duaan menggendong pasangan ke hulu hilir dianggap salah, apa lagi ikhtiar yang ada untuk mencari teman berkongsi nyawa?

SUATU KETIKA DAHULU

“Has, umur kita dah mencecah hampir suku abad. Anta tak ada perancangan untuk berkahwin?” tanya Ziad, sepupu saya ketika kami menjamah makan malam.

“Hmm… terfikir juga. Cuma tidak seserius mana. Anta rasa macam mana?” saya menyoalnya kembali.

“Kalau anta berhajat, jomlah kita berjumpa dengan Ustaz Wan,” cadang Ziad.

Ustaz Wan adalah seorang pelajar PhD di UK. Beliau merupakah seorang tokoh masyarakat yang dekat di hati kami kerana sikapnya yang prihatin terhadap kebajikan pelajar yang mengenalinya. Dalam kesibukan beliau mengendalikan pengajiannya di peringkat PhD, beliau tidak lokek meminjamkan masa dari semasa ke semasa untuk berceramah, berseminar dan membuka kelas-kelas pengajian yang amat berharga, terutamanya buat anak perantau yang dahagakan petunjuk agama di bumi UK.

Kami sering merujuk kepada Ustaz Wan.

Bukan hanya dalam soal ilmu dan hukum hakam, tetapi membabitkan soal kehidupan. Beliau adalah tempat rujuk yang paling tepat untuk pelajar bertemu dan meminta nasihat serta pertolongan tentang cinta, jodoh dan perkahwinan.

“Anta tak ada calonkah daripada kalangan ustazah-ustazah Jordan sana?” soal Ustaz Wan petang itu.

“Err… ustazah-ustazah Jordan garang, ustaz. Nanti ana tak dibenarkan makan pizza. Hanya khubuz arabi sahaja!” saya menjawab dengan nada gurauan. Ustaz Wan dan Ziad ketawa.

“Anta ada kriteria tertentu?” tanya Ustaz Wan kepada saya.

“Tak ada ustaz. Asalkan elok di mata ustaz, eloklah di mata ana. Cuma jika ada ruang, ana lebih cenderung untuk mencari calon yang kampungnya dekat-dekat. Tidak perlu bermusafir jauh untuk pulang ke kampung nanti,” saya menjawab.

“Oh, kalau ada calon dari kampung ana, anta tak setujulah ya?” gurau Ustaz Wan sambil mengisyaratkan jarinya kepada Zack yang ketawa di sisi.

Wait and see laa ustaz!” kami ketawa.

Kami tahu, isteri Ustaz Wan juga banyak berbual dengan kelompok siswi. Mereka juga merujuk kepada isteri Ustaz Wan dalam hal-hal seperti ini dan sebahagiannya meminta bantuan beliau untuk mencarikan jodoh yang sesuai.

Ustaz Wan mencadangkan agar saya mencari jodoh dari kalangan pelajar perubatan di Ireland. Kombinasi Ustaz dan doktor bagus untuk khidmat masyarakat katanya. Cuma ustaz yang berkahwin dengan doktor kenalah bekerja keras untuk menyesuaikan kerjaya dan expectation masing-masing memandangkan kepada nature kerja kedua-dua profesyen itu.

Saya bersetuju.

Ustaz Wan dan isteri memanjangkan hajat saya kepada seorang senior yang berada di Dublin, Dr. Faiz.

Beliau dan isterinya merupakan doktor yang dihormati di kalangan pelajar. Biar pun beliau bukan seorang ustaz, namun perwatakannya yang prihatin kepada kebajikan pelajar serta keperibadiannya yang baik, menjadikan beliau sebagai tempat siswa dan siswi mengadu hal dan meminta nasihat.

Selain nasihat berkaitan akademik, beliau juga banyak berkongsi peringatan tentang hal-hal yang bersangkutan dengan cinta, jodoh dan perkahwinan.

seacat

Menaiki Seacat menyeberangi Laut Irish dalam ikhtiar berkaitan jodoh - Disember 1998

“Ahlan wa sahlan ke Dublin, ustaz,” kata Dr. Faiz semasa menyambut saya yang baru tiba dengan keretapi dari Belfast.

“Terima kasih doktor,” saya berpelukan dengannya.

Biar pun kami hanya sesekali bertemu di dalam program, namun keserasian pemikiran dan sifat saling hormat menghormati memberikan keselesaan serta merta kepada kami berdua untuk berbual mesra. Pertemuan pada malam Ramadhan yang penuh keberkatan itu menjadi sesi bertukar-tukar pandangan di antara saya dengan beliau. Setelah dimaklumkan oleh Ustaz Wan lebih sebulan yang lalu, Dr. Faiz dan isteri mencadangkan kepada saya beberapa orang siswi yang mempunyai hasrat yang sama, sebagai calon isteri.

CALON CADANGAN

“Ana ada dua orang calon yang dirasakan sesuai dengan ustaz. Tetapi terpulang kepada ustaz untuk mempertimbangkannya,” ujar Dr. Faiz malam itu.

“Hmm, kalau mengikut catatan doktor, calon yang pertama ini amat banyak persamaan dengan ana. Hingga poskod beliau pun sama. Doktor rasa kenapa agaknya?” saya tersenyum semasa membaca catatan Dr. Faiz tentang ‘calon pertama’ yang dikemukakannya.

“Kenapa ya? Ana tak perasan pula!” kata beliau. Sedikit terkejut.

“Ini sepupu ana, doktor. Haha!” saya ketawa.

“Ohh ye ke? Tak tahu pula ustaz ada sepupu di sini. Patutlah poskod pun sama. Rumah dekat-dekat barangkali,” Dr. Faiz ketawa sambil menepuk dahi.

Saya membelek maklumat tentang calon kedua yang dikemukakan oleh Dr. Faiz.

Namanya Nazhatul Muna.

Hmm… sedap nama itu. Seperti Arab. Tanda ibu bapanya orang beragama barangkali. Alamatnya di Ipoh. Orang dekat juga nampaknya. Adik beradiknya 10 orang. Besar keluarga ini. Mungkin juga bonus, petanda baik kesediaan berkaitan cahaya mata nanti. Serba serbi, maklumat ringkas yang ada cukup berpada.

Saya tidaklah cerewet dalam mencari. Risaunya lebih kepada menjadi. Kalau mahu mencari yang baik, banyakkan usaha menjadi yang baik. Berkahwin untuk memberi… expectation kita adalah soal peranan dan tanggungjawab. Manakala kelebihan dan kebaikan isteri, itu bonus. Sebab itulah mungkin saya tidak mengalami banyak kesusahan untuk membuat keputusan.

“Insya Allah selepas Tarawih nanti ana beri keputusan. Cuma kalau ada gambar orangnya, izinkan ana menengoknya untuk melengkapkan syarat Sunnah,” saya memberitahu. Kebetulannya jam sudah hampir 7:30 malam. Solat Isyak dan Tarawih bakal bermula.

dublinmosque

Di masjid ini saya memohon restu dari Allah sebelum keputusan besar dibuat

Selesai solat, saya mengambil masa seketika menunaikan solat Hajat. Memohon kekuatan daripada Allah untuk ‘menyokong keputusan besar’ malam itu. Keputusan yang banyak berpandukan fatwa hati, bahawa ia tenang dengan kebaikan dan resah dengan perkara yang berlawanan. Hati saya tenang sepenuhnya… dalam munajat kepada Allah.

“Ya Allah, pada malam yang penuh keberkatan dan kemuliaan ini, aku ingin membuat keputusan yang besar tentang wanita yang bakal kupilih menemani kehidupan dan perjuangan ini, sepanjang hayatku. Atas ikhtiarku sebagai hamba-Mu yang tidak mampu melihat apa yang Engkau sembunyikan, aku menilai zahirnya, Kau uruskanlah ghaib dan batinnya. Berkatilah pilihanku ini dan kuatkan azam serta tawakkalku kepada-Mu. Aku hamba-Mu, dia hamba-Mu, Engkau Tuhan kami. Jadikanlah segalanya dalam suluhan hidayah dan inayah-Mu, ameen ya Rabb al-’Aalameen”

Kami bertemu semula selepas moreh.

“Kebetulan zaujah ana ada gambar ukhti tersebut. Ini dia,” Dr. Faiz menghulurkan sekeping gambar.

Saya terkasima di antara rasa teruja dan lucu memikirkannya. Sekeping gambar yang memaparkan hampir 30 orang mahasiswi di hadapan bangunan universiti, wajah calon isteri saya hanyalah sebesar kepala mancis. Apa yang pasti, calon itu cukup matanya, lubang hidungnya, mulut dan dua tangan di kiri dan kanan badan. Alhamdulillaaah!!!

“Insya Allah doktor. Hati ana berada dalam keadaan yang tenang. Dialah calon pilihan ana. Andaikata beliau bersetuju. Jika beliau tidak bersetuju, ana berlapang dada,” saya memberitahu.

Malam itu juga, Kak Ila isteri Dr. Faiz menelefon muslimah bernama Nazhatul Muna itu di bandar Galway, beberapa ratus kilometer ke Barat Dublin. Hampir 15 minit mereka berbual.

“Hah, apa cerita?” Dr. Faiz bertanya kepada Kak Ila yang tersenyum simpul datang ke ruang tamu.

“Alhamdulillah, nampaknya orang sebelah sana pun tidak susah membuat keputusan. Dia belum mempunyai apa-apa komitmen walaupun ada meminta bantuan sepupunya yang belajar di Mesir. Beliau bersetuju, ustaz!” kata Kak Ila kepada saya. Beliau juga girang sekali dengan hasil malam itu.

Sebak dada saya. Antara syukur dan terharu. Debar di dada makin terasa. Malam ini adalah permulaan yang baru dalam hidupku.

Subhanallah. Saya akui saya tidak susah untuk membuat keputusan. Tetapi saya tidak menjangkakan yang calon di sebelah sana juga begitu. Malam itu kami mencapai beberapa keputusan. Dr. Faiz mencadangkan agar semasa Hariraya Aidiladha nanti, saya datang sekali lagi ke Dublin untuk diperkenalkan dengan calon tunang dan isteri saya di rumah mereka. Dr. Faiz dan isteri mahu mengatur sesi Taaruf. Sementara itu, beliau tidaklah mengenakan apa-apa syarat kerana kami masing-masing faham akan batasan agama yang dipersetujui bersama.

Rancangan untuk bertaaruf itu tidak berhasil.

Saya tidak sempat untuk datang semula ke Dublin kerana pulang ke Malaysia. Kebetulannya emak juga sudah maklum akan hasrat saya untuk menamatkan zaman bujang. Tidaklah terus berkahwin, tetapi menunggu sehingga calon saya menamatkan pengajiannya di bidang perubatan. Masih ada dua tahun berbaki. Tempoh yang penting untuk saya membuat persiapan diri.

Setelah ada persetujuan di kedua-dua belah pihak, Dr. Faiz mencadangkan agar saya tidak lagi menggunakan khidmat beliau sebagai orang tengah. Di peringkat ini, sudah wajar untuk kami berhubung terus bagi mengatur diskusi tentang plan yang selanjutnya.

Pada bulan Mei 1999 buat pertama kalinya saya berutus email dengan calon yang belum pernah dilihat wajahnya, belum pernah didengar suaranya, jauh sekali keluar bersama. Gugup sekali. Hingga mahu dibahasakan saudari atau ukhti atau awak atau kamu, saya menulis dan memadam berjam-jam lamanya.

Setelah saling bertukar beberapa email, kami mencapai kata sepakat untuk bertunang. Saya dari kota London dan beliau dari Galway, kami sama-sama pulang ke Malaysia.

Saya telah datang ke rumah beliau bersama abang dan bapa saudara kami untuk menetapkan tarikh majlis bertunang dan hal-hal lain yang berkaitan. Di hari itulah, buat pertama kalinya, saya dipertemukan dengan seorang wanita bernama Nazhatul Muna, di hadapan ayah dan bondanya dengan penuh restu, adab dan aturan agama. Ia sebuah pertemuan yang amat bermakna dan saya memuji Allah atas nikmat ini, nikmat melihat bakal teman sepanjang hayat di dalam majlis yang paling baik, iaitu di bawah bumbung rumahnya, di depan mata ayah dan ibu yang melahir dan membesarkannya.

Tiada yang lebih baik dari itu.

pinang

Tiada dalam gambar. Sedang ‘bersembunyi’ di dalam kereta

Bertunanglah (Mengikat Pertunangan Dalam Kesederhanaan - petikan Aku Terima Nikahnya) kami selama dua tahun dan seperti yang dipersetujui bersama, ikatan perkahwinan dilangsungkan pada September 2001 (Erti Sebuah Perkahwinan - petikan Aku Terima Nikahnya). Ziad yang juga sudah berumahtangga dan sedang menunggu kelahiran cahaya mata pertamanya, menumpang gembira hadir sama mengiringi majlis perkahwinan kami.

KHIDMAT ORANG TENGAH

Itulah secebis kenangan, kisah bagaimana saya bertemu jodoh dengan Ummu Saif.

Peranan Ustaz Wan dan Dr. Faiz serta isteri masing-masing, sinonim dengan fungsi Nafisah binti Umayyah, yang menjadi orang tengah di antara Khadijah bint Khuwailid dan Muhammad bin Abdillah sallallaahu ‘alayhi wa sallam ketika Khadijah melamar baginda.

Tindakan Khadijah mewakilkan Nafisah untuk merisik dan seterusnya menyatakan hasratnya mengambil Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam sebagai suami, adalah suatu aturan prosedur mencari jodoh yang terkandung di dalamnya hikmah yang besar.

1081

Peranan orang tengah inilah yang harus diberikan perhatian oleh para muslimin dan muslimat hari ini dalam ikhtiar mereka mencari jodoh. Sama ada orang tengah itu merupakan ibu bapa mereka sendiri, atau pun individu-induvidu yang diyakini sifat amanah dan kewibawaannya, mereka bisa mengusahakan urusan mencari jodoh ini.

Malah jika peranan orang tengah ini diinstitusikan di bawah unit-unit secara sistematik, ia adalah lebih baik dan bermanfaat. Bagi gerakan-gerakan Islam dan kumpulan dakwah yang menghimpunkan sekelompok besar ahli yang sepemikiran dan memegang nilai serta pandangan hidup yang sama, proses untuk mencari jodoh yang diinstitusikan di bawah Unit Bait Muslim, adalah suatu tradisi zaman berzaman yang amat berguna.

Peranan Unit Bait Muslim ini bukanlah untuk memaksakan jodoh sesama pengikut! Malah jika ada pemaksaan berlaku di mana-mana ia adalah kepincangan mereka sendiri, biar atas nama apa sekali pun ia. Unit Bait Muslim ini amat tipis perbezaan di antara buruk dan baiknya. Ia amat bergantung kepada persepsi atau cara memandang seseorang. Apabila fungsi Unit Bait Muslim disanggah dengan perkataan sedemikian rupa, maka jadilah ia sebagai sesuatu yang dipandang serong dan negatif oleh golongan yang mendengar di atas angin.

Akan tetapi peranan Unit Bait Muslim ini adalah sebagai ikhtiar yang syar’ie untuk golongan yang tidak berdating ini bertemu jodoh. Konotasinya adalah USAHA dan PERANAN ORANG TENGAH.

Khidmat orang tengah dapat mencegah keaiban daripada berlaku. Ia juga boleh menjaga maruah kesemua pihak yang terbabit. Sama ada pihak tengah ini berkhidmat secara individu, atau secara berorganisasi, ia adalah wasilah mengusahakan jodoh dan perkahwinan yang amat penting untuk difahami dan dimanfaatkan.

ORANG ‘BAIK’ TIDAK BERDAKWAH

Apa yang menjadi kesulitannya ialah, jika dahulu golongan yang tidak bercouple ini lazimnya terbabit dengan kegiatan keagamaan, dakwah dan kebajikan secara berorganisasi dan mereka biasanya dibantu oleh Unit Bait Muslim di dalam organisasi masing-masing. Dulu-dulu, orang yang menolak evolusi cinta, menolaknya dengan semangat dakwah. Tetapi kini, ramai sahaja golongan yang ‘baik-baik’, tetapi tidak mempunyai sebarang komitmen dengan kerja-kerja dakwah secara sistematik dan berorganisasi.

Di antara kesan sampingannya ialah, tiada siapa yang menguruskan soal jodoh mereka, dan mereka pula tidak punya sebarang wasilah ikhtiar lain untuk tujuan tersebut.

Ibu bapa pula tidak memainkan peranan mereka dalam hal ini, atau jika ada usaha sekali pun, timbul pula pertentangan nilai antara cara menimbang ibu bapa, dengan si anak. Buntu sekali!

Mungkin dalam situasi seperti ini, agensi mencari jodoh Muslim, menjadi salah satu alternatif yang boleh dipertimbangkan. Syarikat atau pertubuhan seperti MUSLIM MARRIAGE AGENCY setakat ini berperanan secara efektif, terhormat dan berkesan dalam mengatur proses mencari pasangan hidup di kalangan Muslim.

Apa yang penting adalah USAHA dalam lingkungan BATASAN AGAMA.

Kesimpulan daripada keseluruhan perkongsian ini, lawan merompak bukanlah menganggur. Lawan pergaulan bebas bukanlah duduk semata menanti jodoh datang menjelma.

Jodoh tidak datang bergolek.



 

Pengikut

© 2009 Free Blogger Template powered by Blogger.com | Designed by Amatullah |Template Design